Rabu, 2 September 2009

USAH MENAFIKAN SUMBANGAN 52 TAHUN

Selamat Hari Merdeka ! ! ! Rupanya telah 52 tahun negara Persekutuan Tanah Melayu (dikenali Malaysia sejak 1963) mencapai kemerdekaan. Kemerdekaan yang menjadi titik tolak kepada pemerintahan sendiri dengan mengusir secara terhormat kolonial British yang mejadi penjajah terakhir yang meninggalkan tanahair. Pelbagai sumbangan telah dijalankan kepada rakyat tidak mengira bangsa, agama, tempat dan paras rupa. Selama 52 tahun memerintah, parti yang menjadi tulang belakang kepada pemerintahan dan pentadbiran negara, Barisan Nasional (dulunya Perikatan) boleh menabik dada mengatakan semua prasarana dan kejayaan negara Malaysia adalah hasil usaha dan inisiatif parti pemerintah. Ini memang tidak dapat dinafikan. Pemerintah telah DIPERTANGGUNGJAWABKAN untuk mentadbir dan mengurus sumber-sumber yang diperolehi untuk meningkatkan taraf pembangunan negara. Sebagai parti teras yang mendapatkan kepercayaan majoriti penduduk MESTI, sama ada suka atau tidak suka, membangunkan negara. Rakyat hanya mengikut acuan yang telah diadun oleh para pemimpin.

Kita sepatutnya berbangga sebagai warganegara kerana BUKAN semua pemimpin yang dipilih oleh majoriti rakyat boleh memimpin dan mengurus sesebuah organisasi dan negara dengan sebaik mungkin. Bukalah mata dan lihatlah negara serantau khususnya (kecuali Singpura) dan negara lain amnya, belum berupaya menandingi keupayaan Malaysia memacu pembangunan negara. Mereka merasakan alangkah baik dan indahnya berada di Malaysia! Kalau tidak, tak kan jutaan warga asing sanggup mengharungi laut, meredah paya dan bergolak gadai untuk bekerja di negara kita, malah ada yang tidak mahu pulang ke tanah kelahiran mereka !
Juateru itu, janganlah kita sewenang-wenangnya menukar kepimpinan tanpa memikirkan masa depan bangsa, agama dan negara. Untuk melihat ke hadapan, jangan lupa pandanglah ke belakang. Belum pasti yang ditukar bertambah baik.  Kalau baik, Alhamdulilah dan bagus. Kalau lebih teruk, buruk padahnya. Jangan kerana nila setitik kita mengatakan sudah rosaklah susu sebelanga. Mengapa tidak buangkah nila yang setitik itu untuk menyelamatkan susu yang sebelanga itu. Jangan kerana seorang dua pemimpin yang korup atau bermasalah maka kita mengatakan bahawa seluruh organisasi, institusi dan negara juga sedemikian juga. Jangan kita membuat analogi sekiranya ada karat pada enjin kereta kita, maka kita mengatakan kereta kita tidak baik. Kalau kita membaiki karat tersebut bukankah masalah boleh diatasi ; mengapa perlu menukat kereta ! Bukankah tidak bijak penyelesaiannya. Lihat contoh terbaru parti pemerintah Jepun LDP tewas walaupun telah lebih 50 tahun memerintah . Secara analoginya, adakah UMNO dan BN akan menjadi seperti LDP juga?

Memang kita boleh menafikan sumbangan pihak lain dalam membantu kejayaan proses pembangunan negara. Fungsi pembangkang, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bukan setakat 'check anda balance', kadangkala bertindak sebagai pendesak telah kerap kali membawa kebaikan kepada pemerintah. Badan pelaksana juga berperanan sebagai 'mata dan telinga' kepada pemerintah. Semuanya ada membantu kepada kejayaan negara Malaysia. Jadi kita tidak boleh mengkesampingkan peranan pihak-pihak terbabit.

Senario poilitik muktahir boleh dikatakan kelam kabut. Dengan media perdana yang terlalu mengagungkan pihak pemerintah, media parti politik yang juga sangat mengagungkan parti mereka dan wartawan media yang suka mensensasikan laporan berita telah memburukkan keadaan. Ironinya kalau dikaji, media perdana lebih telus dan lebih menyeluruh intipati beritanya. Laporan parti lain tetap ada. Kandungan beritanya untuk semua perspektif seperti politik, ekonomi, sosial, keagamaa, budaya dan hal luar negara. Tetapi media parti politik sama ada laman sesawang atau blog secara total dan totok menyebelahi parti mereka. Seolah-olah mereka parti yang memerintah dan berkuasa serta satu-satunya organisasi pendesak terhadap pemerintah. Kalau ada kebaikan tidak dinyatakan ; ada keburukan ditonjol-tonjolkan secara meluas seumpama parti mereka sangat bersih dan telus. Walhal apabila memerintah, mereka sama sahaja malah ada yang lebih teruk lagi berbanding pemerintah yang selama ini mereka bobrok-bobrokkan. Cakap tak serupa bikin ; lebih sudu daripada kuah.

Justeru itu, usahlah kita menafikan sumbangan besar pembangunan negara oleh parti pemerintah. Kebaikan perlu dinyatakan ; keburukan perlu dibanteras atau dibaiki kalau boleh dilakukan. Bukan mata dan minda. Lihatlah dari mata burung ; jangan lihat dari mata tempurung. Kita takut panasnya setahun ; rosaknya kerana hujan sehari .Kalau ada masalah, atasilah bak menarik rambut dalam tepung ; rambut tak putus tepung tak berselerak. Teruskan Malaysia. Selamat Hari Lahir Malaysia (16 September)

Tiada ulasan: