Isnin, 17 September 2012

SALAH FAHAM MENGENAI NEGARA KITA : BETULKAN SEGERA TANGGAPAN SALAH INI !

Baru-baru ini saya menghadiri Sesi Penerangan Mengenai Perlembagaan pada 15 Sept 2012 di Dewan UMNO Pagoh. Sangat menarik penerangan oleh Tn Hj Mahamad Naser bin Disa. Berikut edaran yang diberikan kepada saya dan saya petik melalui blog http://akarimomar.wordpress.com/2012/04/07/hijrah-minda/

Berikut adalah edaran tersebut :

Islam Agama Negara: Undang-undang Tertinggi Negara

Tn Hj Mahamad Naser bin Disa
Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi di Negara ini memartabatkan Islam sebagai Agama Negara – Fasal 1 Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan – “Islam adalah agama bagi Persekutuan;” atau dalam teks asalnya  “Islam is the religion of the Federation;”[2] Jika diterjemahkan ke bahasa Arab ia bermaksud – “Al Islam deen alDawlah”. Bersandar kepada ketinggian kedudukan Islam sebagai Agama Negara ini, Fasal 1 Perkara 37 Perlembagaan Persekutuan mewajibkan Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong untuk membuat satu komitmen atas nama suci Allah dengan melafazkan sumpah – wallahi; wabillahi; watallahi untuk memelihara agama Islam pada semua masa. Lafaz sumpah ini dilakarkan secara khusus di dalam Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan.
Atas sifat dan kedudukan Baginda Yang Di-Pertuan Agong sebagai Ketua Utama Negara (The Supreme Head of Federation), semua pihak yang ada hubung kait dengan pemerintahan Negara ini juga terikat untuk melaksanakan sumpah berkenaan kerana segala urusan pemerintahan dalam Negara ini bersumberkan kepada kuasa eksekutif Baginda sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan. Justeru, berpaksikan kepada kedudukan Islam sebagai Agama Negara dan komitmen Ketua Utama Negara, segala agenda Negara sama ada dalam bentuk dasar mahupun perundangan semestinya berpaksikan kepada prinsip Islam dan tidak boleh sama sekali menyanggahi atau menjejaskan ketinggian dan kedaulatan Agama Negara.
Seluruh dasar dan agenda pembangunan Negara semestinya berteraskan kepada prinsip Agama Negara dan bukan pemikiran atau pengaruh pemikiran sekularisme dan liberalisme kerana sifat kedua-dua pemikiran itu masing-masing menyisih dan menghakis agama dari kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Rakyat Negara ini seharusnya menyedari dan bersyukur sebagai kerangka asas Negara, Islam telah berjaya membuktikan kepada dunia bahawa sifat kemanusiaan yang dipupuk dalam minda umat Melayu/Islam, Negara Malaysia telah berjaya membawa semua kaum sama ada yang beragama Islam atau bukan beragama Islam ke mercu kejayaan dan keamanan yang berpanjangan – bebas dari cengkaman penjajah dan bebas dari ancaman komunis dan segala bentuk ancaman. Justeru, ketika rakyat Negara ini menikmati rahmat pembangunan dan keamanan ini, tiada pilihan lain selain dari terus memartabatkan kedaulatan dan ketinggian agama Islam sebagai Agama Negara.

Penghijrahan Minda yang mesti dilakukan oleh seluruh umat Islam adalah untuk menyedari dan menginsafi bahawa kewajipan untuk memelihara agama (hifz ad deen) bukan hanya menjadi kewajipan keagamaan semata-mata, malah ia juga Kewajipan Kenegaraan yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dan menjadi Agenda Tertinggi Negara (Constitutional Obligation).
Islam yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan bukan hanya setakat prinsip kepercayaan dan amal ibadah khususiyyah semata-mata, malah Islam yang menjadi tanggungjawab kenegaraan itu adalah Islam yang syumul dan sempurna sebagaimana yang telah diputuskan oleh mahkamah tertinggi Negara – Mahkamah Persekutuan dalam kes Lina Joy lwn Majlis agama Islam Wilayah Persekutuan & 1 Lagi  [2007] 4 MLJ 585 telah memberikan tafsiran yang luas kepada Islam yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Islam itu bukan sahaja suatu himpunan dogma-dogma dan ritual-ritual tetapi ianya adalah juga suatu cara hidup yang lengkap merangkumi semua bidang aktiviti manusia, persendirian atau awam, perundangan, politik, ekonomi, sosial, budaya, moral atau kehakiman.”

Penghakisan Kedaulatan Agama Islam
Walaupun kedudukan dan ketinggian Islam sebagai Agama Negara sudah terang lagi bersuluh tertera dalam Perlembagaan Persekutuan, Negara masih lagi dibelenggu dengan pegangan dan fahaman salah kononnya Malaysia adalah sebuah ”Negara Demokrasi Sekular dengan Islam sekadar Agama Rasmi”. Fahaman salah ini masih menular dengan meluas, termasuk di kalangan umat Islam malahan juga di kalangan sebahagian besar ahli politik, pengamal undang-undang, penggubal dasar sama ada pada peringkat Persekutuan mahupun Negeri dan juga dalam kalangan majoriti rakyat.
Salah tanggapan terhadap kedudukan Islam ini jika dibiarkan, boleh mengakibatkan mala petaka besar kepada Negara ini kerana jika selama ini kedaulatan Islam dalam Perlembagaan hanya berhadapan dengan pemikiran sekular yang menyempitkan tafsiran Islam kepada hanya sekadar agama rasmi atau amalan ritual semata-mata, kini Islam berhadapan dengan cabaran yang lebih besar yang diterajui oleh golongan pemikiran Liberal yang sifat utamanya ialah menghakis agama dari aspek kehidupan bermasyarakat dan pemerintahan. Mereka berpegang pada fahaman bahawa agama hanya difokuskan pada pegangan individu – kepercayaan atau faith sahaja. Ajaran Islam yang sempurna dan komprehensif itu gambarkan sebagai kejam, ketinggalan zaman, menindas dan lebih menakutkan – mempelopori keganasan! Ajaran Islam yang bersifat rahmatan lil’alamin dihujahkan sebagai tidak wajar diguna pakai ke atas penganut agama lain.
Implikasi besar yang baru melanda Negara ini akibat dari melebarnya pengaruh fahaman Liberalisme yang sifatnya menghakis agama ini terbukti menjadi kenyataan apabila sekelompok masyarakat Malaysia yang menuntut diberikan hak kebebasan orientasi seks yang mereka rayakan atas nama “Seksualiti Merdeka” telah dirancang ketika musim umat Islam seluruh dunia melaksanakan ibadah haji dan menjelang sambutan hari kebesaran Islam iaitu ‘idul adha. Tragedi ini berlaku hanya beberapa bulan selepas kejadian umat Islam diseret untuk turut sama menyertai majlis kesyukuran agama lain – Thanksgiving Dinner pada hari ketiga di bulan Ramadhan.
Dalam hal ini pandangan Prof. Ulung Negara Tan Sri Prof. Dr Muhammad Kamal Hassan[3] amat wajar diberikan perhatian –
“Umat manusia dan umat Islam sedang berada dalam satu era pancaroba yang disebut oleh Alan Greenspan sebagai “The Age of turbulence”(Greenspan, 2008), suatu zaman dalam mana kecemerlangan sains moden dan sekular telah mencapai kemuncak kegemilangannya dari segi ciptaan-ciptaan dan penemuan-penemuan saintifik yang menakjubkan (dan yang amat bermanfaat), tetapi kekufuran, keegoan dan keangkuhan akal (reason) bebasnya telah mencipta pelbagai jenis malapetaka ekonomi, politik, budaya, intelektual dan moral kerana membelakangi petunjuk Allah S.W.T., bimbingan para Rasul, hukum-hukum Allah S.W.T. dan ajaran-ajaran agama Allah S.W.T. Tamadun timpang dan cacat ini didirikan atas sistem pendidikan moden sekular Barat, yang kemudian diterapkan di negara-negara orang Islam termasuk dunia Melayu Islam.”
Cabaran-cabaran ini ternyata telah menjejaskan akhlak umat Islam terutama di kalangan para remaja. Krisis gejala sosial yang melanda remaja Islam pada masa ini merupakan kesan  secara langsung akibat kejutan budaya dan perubahan nilai serta  pemikiran  yang melanda masyarakat. Gejala sosial yang berlaku pada hari ini bolehlah disifatkan sebagai amalan jahiliyyah pada era globalisasi yang serba maju dan moden. Dalam era pembebasan daripada kawalan agama ini, remaja pelajar semakin terdedah kepada budaya hedonisme, iaitu suka berfoya-foya dan berhibur dengan keterlaluan, terjebak dalam amalan seks bebas atau zina, hamil tanpa nikah, buang bayi, ketagihan  arak, dadah  rokok, judi, bahan-bahan lucah, rogol dan banyak lagi masalah sosial yang cukup membimbangkan.

Hijrah Minda – Transformasi Pemikiran
Berpaksikan kepada prinsip Rukun Negara – Keluruhan Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang, umat Islam perlu melakukan Hijrah Minda atau Transformasi Pemikiran supaya kedaulatan Islam sebagai Agama Negara sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dapat dilaksanakan selaras dengan ajaran dan pegangan Islam sebagaimana yang terkandung di dalam al Quran dan ajaran Rasulullah SAW. Transformasi utama yang perlu dirintis oleh umat Islam adalah dengan melakukan pelbagai koreksi atau pembetulan kepada berbagai salah tanggapan yang pada hakikatnya menjadi “sumbangan terbesar” kepada segala macam cabaran dan permasalahan yang mencengkam umat Islam.
Umat Islam berkewajipan untuk melakukan Transformasi Pemikiran dan proses Hjirah Minda dalam menanggapi kedudukan Agama Negara supaya roh sebenar “Sumpah Agong” dapat dilaksana dan direalisasikan secara berkesan. Berbagai persepsi salah  tentang kedudukan Islam sebagai Agama Negara yang selama ini membelenggu pemikiran ummah wajib diperbetulkan. Almarhum Prof. Ahmad Ibrahim pernah mengutarakan pandangan berhubung dengan perkara ini.  Menurut beliau, cara yang lebih baik adalah dengan melihat Perlembagaan Persekutuan secara positif dan menerimanya serta berusaha melaksanakannya agar prinsip-prinsip kerajaan Islam dapat ditegakkan.  Perlembagaan Persekutuan terhasil daripada perundingan dan tolak ansur antara kaum-kaum yang ada di Malaya dan kemudiannya Malaysia.  Kita harus menghormati perjanjian yang dicapai atas dasar timbang rasa dan persahabatan itu.  Pada masa yang sama, kita wajar berfikir secara mendalam dan bertindak dengan bijaksana untuk memanfaatkan Perlembagaan agar usaha menegakkan Kerajaan Islam akhirnya menjadi kenyataan yang pada masa yang sama mengambil kira kepentingan semua kaum di Malaysia.[4]

Antara salah tanggapan terhadap perkara-perkara asas mengenai Islam dalam Perlembagaan yang wajib diperbetulkan oleh umat Islam di Malaysia dalam proses Transformasi Islam ini adalah memperbetulkan –

Salah tanggapan No. 1 – “Islam sekadar Agama rasmi”.
Ungkapan ini jauh tersasar dari kedudukan yang sebenar sebagaimana yang termaktub dalam perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan – “Islam is the religion of Federation…” Ungkapan “rasmi” hanya sekadar tambahan, tetapi impaknya telah mengelirukan semua pihak dan membuat tanggapan yang salah mengenai kedudukan Islam di Negara ini hingga menjadi – “Malaysia adalah sebuah negara demokrasi sekular dengan Islam sebagai agama rasmi.”  Hakikatnya ketiga-tiga perkataan – demokrasi, sekular dan rasmi tidak wujud sama sekali dalam Perlembagaan.
Banyak pihak yang berhujah bahawa ungkapan ini telah digunapakai dan “diterima” oleh semua pihak sejak Negara mencapai kemerdekaan. Persoalannya di manakah Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang seandainya penerimaan yang tidak betul ini dibiarkan berterusan? Bagaimana dengan “sumpah Agong” di bawah perkara 37 Perlembagaan atas nama suci Allah? Hanya orang yang tidak mengenali dan beriman dengan Allah sahaja yang tergamak untuk menghilangkan ketinggian nilai sumpah Agong itu dan merendah-rendahkannya kepada hanya sekadar upacara rasmi sahaja.

Salah Tanggapan Ke 2 – Malaysia Negara Sekular
Berdasarkan fahaman yang tersasar ini pemikiran sekular terus menular manakala  prinsip ajaran Islam disisihkan. Dalam era Liberalisme yang sedang hebat melanda kini, ajaran Islam bukan sahaja tidak mendapat perhatian sewajarnya dalam sistem ekonomi, pendidikan, sosial, budaya, serta lain-lain aspek kehidupan, malah Islam digambarkan secara negartif dan kejam. Apabila sahaja disebut tentang Islam, ada yang mengeluarkan kata-kata yang boleh menjerumuskan kepada kemurtadan – “kalau kita ingin maju, agama perlu ditinggalkan!

Salah tanggapan mengenai hakikat kedudukan sebenar Islam sebagai Agama Negara menjadi penyumbang terbesar kepada kelangsungan hayat pemikiran sekular Barat di Negara ini. Faktor utama kepada pegangan sebegini berpunca  daripada hakikat bahawa Perlembagaan Negara dirintis oleh sebuah suruhanjaya yang diketuai oleh Lord Reid dengan dianggotai oleh hanya seorang hakim beragama Islam iaitu Hakim Abdul Hamid dari Pakistan.[5]  Namun begitu tidak ramai yang menyedari fungsi dan peranan Suruhanjaya ini yang pada hakikatnya hanya menyediakan laporan. Pendekatan Raja-Raja Melayu untuk memuktamadkan Perlembagaan dengan menerima pandangan Hakim Abdul Hamid bagi  memasukkan prinsip  “Islam sebagai Agama Persekutuan”  dengan mengenepikan frasa “tetapi ia tidak menafikan ciri-ciri sekular Negara ini”[6] menghasilkan natijah yang amat baik  untuk Islam – Perlembagaan Persekutuan bebas dari ungkapan sekular sama sekali.
Persoalannya kenapa Malaysia masih dianggap sebagai negara sekular? Adakah hanya kerana ayat kedua dalam perkara 3(1) yang berbunyi “but other religion may be practiced in peace and harmony in any part of Malaysia” telah menukar pegangan negara dari Islam kepada sekular? Bukankah ajaran Islam itu sendiri memberikan kebebasan manusia yang tidak beriman untuk mengamalkan ajaran agama mereka tanpa dikenakan paksaan untuk menerima Islam atau dihalau dari masyarakat Islam?  Ternyata limb kedua tersebut tidak sedikitpun mencacatkan pegangan Islam Negara ini. Pegangan bahawa Malaysia adalah Negara sekular boleh dianggap sebagai penghinaan kepada undang-undang tertinggi negara yang meniktiraf Islam sebagai Agama Negara dan komitmen Sumpah Agong atas nama suci Allah.
Ada pihak yang cuba memberikan hujah mengelirukan dengan memutarbelitkan kes Che’ Omar Che’Soh yang sering digunakan oleh pengamal dan pelajar undang-undang dan sesetengah orang Islam kononnya Tun Salleh Abas pernah memutuskan Malaysia adalah negara sekular. Cerita ini amat mengelirukan sama sekali kerana Tun Salleh hanya mengatakan undang-undang yang sedang berkuat kuasa adalah undang-undang sekular dan bukannya Negara ini Negara sekular. Bahkan Tun Salleh memberikan pendapatnya dalam kes berkaitan hukuman mati sama ada bercanggah dengan Islam dan bukan isu sama ada Negara ini Islam atau Negara sekular.

Salah tanggapan ke 3 – Kedudukan Islam lebih rendah dari Perlembagaan.

Perkara 4(1) Ketinggian Perlembagaan-  tidak menafikan kedudukan Islam sebagai agama Negara, malah ia memartabatkan perkara 3(1) – Islam Agama Negara sebagai undang-undang tertinggi. Kenapa kita perlu menjunjung prinsip sekular Barat yang langsung tidak disebutkan dalam Perlembagaan sebagai sebahagian dari undang-undang tertinggi Negara, sedangkan peruntukan yang jelas mengenai Islam sebagai Agama Negara itu adalah perkara yang pertama sekali disebutkan dalam Perlembagaan, dan diikrarkan oleh YDPA, dikesampingkan dan dipinggirkan hingga tidak dianggap sebagai undang-undang tertinggi? Terserlah lah sikap hipocracy kelompok sekular dalam menanggapi kedudukan Islam dalam perlembagaan mencecah ke tahap pembohongan yang amat besar dalam sejarah Malaysia moden. Justeru salah tanggapan ini perlu diperbetulkan. Islam sebagai Agama Negara mesti dihormati dan dipatuhi sebagai Undang-undang Tertinggi Negara. Sebarang dasar dan undang-undang yang digubal mestilah tidak bercanggah dengan Agama Negara dan memelihara ketinggiannya adalah menjadi kewajipan pemerintah.
Kewajipan untuk memastikan segala aspek pemerintahan Negara perlu mematuhi prinsip agama Islam bukan sahaja berasaskan kepada kedudukan Islam sebagai agama negara, malah ia bertunjangkan kepada komitmen YDPA sebagai Ketua Utama Negara sebagaimana yang dilafazkan dalam sumpah baginda. Sumpah Agong yang perlu dilafazkan selaras dengan kehendak perkara 37 Perlembagaan Persekutuan adalah sepertimana yang dilakarkan dalam Jadual keempat Perlembagaan Persekutuan.

Salah Tanggapan ke 4  – Hak Kesamarataan agama – Equality of Religion
Walaupun Perlembagaan memberikan hak kebebasan mengamalkan agama-agama, namun hak kebebasan itu perlu dilaksanakan tertakluk kepada undang-undang tentang moral, ketenteraman dan kesihatan awam (Perkara 11(5) Perlembagaan Persekutuan). Penyebaran agama-agama lain juga tertakluk kepada kawalan dan sekatan bagi menghalang ia dari tersebar kepada penganut Agama Islam. Justeru sebarang perbuatan/aktiviti yang bersifat mendedahkan umat Islam kepada kepercayaan agama lain boleh dikawal dan dihadkan (restrict and control).

Ternyata bahawa prinsip kesamarataan agama yang menjadi pegangan sesetengah pihak di Negara ini adalah tidak berasaskan pendekatan Perlembagaan. Terdapat pelbagai peruntukan yang menyerlahkan keistimewaan kedudukan Islam sebagai Agama Negara. Mahkamah tertinggi Negara dalam banyak kes telah memutuskan bahawa Islam sebagai agama bagi persekutuan tidak sama dengan agama –agama lain.
“…kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan adalah berlainan daripada kedudukan agama-agama lain. Pertama, hanya Islam, sebagai satu agama, yang disebut dengan namanya dalam Perlembagaan Persekutuan, iaitu sebagai ‘agama bagi Persekutuan’ … Perkara 3 Fasal (1).

(Tun Ahmad Fairuz dalam kes Lina Joy merujuk kepada pandangan Tun Abdul Hamid Mohamad dalam kes Kamariah Ali.)

Agama-agama lain boleh diamalkan selagi ia tidak memecah keamanan, namun jika amalannya sudah menampakkan tanda-tanda tidak harmoni dan boleh memecah keamanan, maka amalan berkaitan perlu dihalang.
Ketinggian Islam juga terserlah menerusi Perkara 12(2) Perlembagaan Persekutuan yang hanya membolehkan Kerajaan Negeri atau kerajaan Persekutuan untuk memperuntukan kewangan dan menubuhkan atau membantu menubuhkan apa-apa institusi berkaitan agama Islam. Oleh kerana itu cadangan untukmenubuhkan suatu suruhanjaya yang dinamakan Suruhanjaya antara Agama (Inter-faith Commission-IFC) yang pernah dicadangkan penubuhannya sebagai sebuah badan berkanun yang mempunyai kuasa undang-undang  termasuk ke atas agama Islam tidak boleh dilaksanakan kerana ia bersifat menyematarafkan agama Isam sebagai Agama Negara dengan agama-agama lain.

Salah Tanggapan ke 5 – Legasi Penjajah yang bercanggah dengan Islam dianggap sistem konvensional manakala sistem Islam sekadar alternatif.

Sistem perundangan masih bersandarkan undang-undang common law Inggeris, sedangkan tiada peruntukkan dalam Perlembagaan yang mewajibkan undang-undang sekular itu diteruskan. Bahkan undang-undang yang membolehkan ia terus bernafas di negara ini selepas Merdeka sebenarnya terletak dalam bahagian Temporary and Transition – Sementara dan Peralihan. Civil Law Act 1956 hanya membenarkan rujukan kepada Undang-undang Inggeris sekiranya keperluan setempat memerlukannya. Rujukan kepada prinsip undang-undang Islam  dalam sistem perundangan langsung tidak dikembangkan. Hanya dalam aspek yang mendatangkan keuntungan ekonomi, rujukan kepada Islam diberikan seperti perbankan Islam.
Sistem pendidikan Islam hanya sekadar alternatif sedangkan ia sewajarnya menjadi sistem pendidikan mainstream berdasarkan kepada kedudukan Islam sebagai agama Negara. Gejala sosial yan berpuca dari penyisihan Islam dari kehidupan tidak dapat disembunyikan lagi. Sebarang usaha untuk menyembunyikannya bagaikan menutup bangkai gajah. Umat Islam makin perlu diberikan hak untuk kembali kepada sistem pendidikan  yang berteraskan Agama Negara secara sempurna bukan sekadar pendidikan alternatif. Kelompok yang memahami dan mengerti agama perlu diberikan ruang dan peluang yang sewajarnya. Kelompok agama sering dipersalahkan kerana dikatakan gagal mengemukakan cadangan penyelesaian, namun semasa menggubal dasar atau pelan pelaksanaan sesuatu program, pandangan dan ulasan agama tidak diberikan perhatian.

Salah tanggapan Ke-6  Memperjuangkan Islam dianggap cenderung kepada Golongan Kiri.
Pihak-pihak yang menyuarakan supaya  negara ditadbir menurut prinsip dan dasar Islam  dilabelkan dengan pelbagai gelaran negatif – golongan fanatik, pemecah perpaduan, extremist, fundamentalis, terrorist, talibanese dan disisihkan dari arus perdana. Pendekatan sebegini adalah amalan di zaman penjajahan di mana para pejuang agama yang lantang menuntut Islam dimartabatkan dinyahkan sama ada dalam kurungan atau ditransfer jauh ke pendalaman dan tidak dinaikkan pangkat. Mereka yang cenderung kepada agama termasuk sekolah-sekolah agama dilabelkan sebagai anti-establishment. Pendekatan penjajah ini sedikit sebanyak telah mempengaruhi sesetengah pihak yang bersikap negatif kepada apa saja program pendidikan keagamaan dan melemparkan pelbagai tohmahan kepada guru-guru atau golongan pelajar yang cenderung kepada agama hingga disisihkan dari peluang-peluang tertentu. Ada juga sekolah-sekolah, bahkan sekolah-sekolah agama turut serta mengekang para pelajar dari mendalami agama Islam menerusi kegiatan dakwah. Sedangkan usaha dan kegiatan keagamaan mereka ini adalah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan untuk memartabatkan Islam.
Hari ini, apabila kita berhadapan dengan pelbagai tekanan dan cabaran sekularisme dan liberalisme yang menghasilkan gejala sosial yang tidak terkawal dan jurang perbezaan ekonomi yang amat lebar, kelompok agama ini terus menerus dipersalahkan kononnya tidak pro-aktif dalam menyebarkan ajaran agama untuk menyekat gejala sosial.

Salah tanggapan ke 7 – Islam Tanggung jawab Negeri
Oleh kerana pentadbiran hal ehwal agama Islam secara tradisinya berada di bawah kuasa Sultan/Raja sebagai ketua agama, tuntutan supaya ajaran Islam dipatuhi dalam sebarang penggubalan/pelaksanaan dasar  atau undang-undang di peringkat persekutuan sering kali diketepikan atas alasan tanggungjawab memelihara Islam adalah terletak di bawah urusan Negeri. Sedangkan sebahagian besar urusan pemerintahan dan pentadbiran Negara berada dalam senarai Persekutuan. Justeru adalah menjadi tanggungjawab persekutuan untuk memastikan penggubalan atau pelaksanaan dasar bagi semua perkara-perkara yang tersnarai dalam senarai persekutuan Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan sama ada yang berkaitan ekonomi, pendidikan, perdagangan, dan lain-lain lagi digubal dan dilaksanakan secara mematuhi dan selqaras dengan ajaran Islam atau tidak menjejaskan Islam sebagai agama Negara.
Dengan pendekatan sedemikian kita tidak akan mendengar lagi suara-suara sumbang yang menuntut hak kebebasan dari pengaruh dan unsur Islam sebagai salah satu hak kebebasan beragama. Prof Muhammad Imam ketika mengupas kewajipan mengenai Islam di bawah Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan berpendapat[7] –

This provision worded as it is, lends itself to a persuasive interpretation that it casts upon the ‘Federation’ a positive obligation to protect, defend and promote the religion of Islam and to assist, enable and facilitate Muslims, individually or collectively, to order their lives in accordance with the Injunctions of Islam.

Said Maulana S. Abdul Ala Maududi:

A very large part of the Islamic system of law, however, needs for its enforcement, in all its details, the coercive powers and authority of the state. Political power is essential for protecting the Islamic system of life from deterioration and perversion, for the eradication of vice and the establishment of virtue and, finally, for the enforcement of all these laws that require the sanction of the state and the Judiciary for their operation.

Sesetengah pihak tidak begitu selesa untuk merangka atau melaksanakan dasar atas semangat dan roh agama Negara tetapi lebih memberikan penekanan kepada prinsip-prinsip lain seperti toleransi perpaduan, kemajuan material, kecemerlangan duniawi, pengiktirafan antarabangsa, hak asasi dan sebagainya. Dalam memerangi rasuah sebagai contohnya, penekannan lebih diberikan kepada undang-undang dan moraliti mengatasi aspek pematuhan kepada nilai murni agama Negara yang pada hakikatnya lebih mampu untuk mencegah dari berleluasanya sebarang bentuk penyelewengan, rasuah dan pecah amanah yang dikeji oleh Islam.

Salah Tanggapan ke 8 – Pihak Berkuasa Agama Negeri Berada di bawah Kawalan Kerajaan Negeri.
Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan negeri-negeri memartabatkan Sultan atau YDPA sebagai Ketua Agama Islam Negeri. Dalam hal pentadbiran Agama Islam Baginda dibantu oleh Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) yang merupakan pihak berkuasa agama Negeri yang utama selepas Sultan/YDPA. Walau bagaimanapun kedudukan ini sering disalah tanggap. Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) atau Kerajaan Negeri sering dianggap sebagai pihak berkuasa termasuk dalam hal ehwal agama yang termaktub dalam butiran 1 Senarai Negeri Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Fahaman dan pendekatan sebegini adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri. Islam sebagai Agama Negeri dan Agama Negara tidak tertakluk di bawah kuasa politik. Sebaliknya Kerajaan Negeri yang tertakluk kepada prinsip Islam dalam menjalankan pemerintahan Negeri. Justeru, walau pun menjadi kewajipan kepada Kerajaan Negeri menyediakan kewangan, kemudahan dan pegawai-pegawai untuk berkhidmat kepada MAIN, namun MAIN TIDAK bertanggungjawab (accountable) kepada Kerajaan Negeri kerana MAIN bertanggungjawab terus kepada YDPA/Sultan. Begitu juga para pekhidmat awam Negeri yang ditugaskan dalam hal ehwal berkaitan agama seperti JAIN, Jabatan Mufti, Mahkamah Syariah adalah bertanggungjawab kepada MAIN dan bukan kepada Kerajaan Negeri.

Kerajaan Negeri masih bertanggungjawab untuk melakukan pembangunan dalam hal ehwal agama Islam tetapi tertakluk kepada kawalan dan kebenaran MAIN. Justeru adalah tidak wajar bagi mana-mana Kerajaan Negeri untuk mencampuri hal-hal berkaitan penentuan hukum Syarak walaupun ia berkewajipan untuk mematuhi dan menghormati hukum Syarak yang diperkenankan oleh Sultan sebagai Ketua Agama Negeri.

Salah Tanggapan ke 9 – Sejarah Islam Negara Bermula pada 1957
Kegemilangan sejarah Negara bukanlah hanya bermula selepas kemerdekaan dicapai pada 31 Ogos 1957 atau semasa pembentukan Malaysia pada September 1963, malah kedaulatan kerajaan-kerajaan Melayu telah lama berdiri teguh sejak berabad-abad lamanya. Jika disandarkan pada Batu Bersurat Terengganu, kedaulatan Kerajaan Melayu yang berteraskan ajaran Islam telah bertapak kukuh sejak kurun ke-13 lagi. Fakta ini diteguhkan lagi melalui pemakaian undang-undang kanun-kanun Negeri-Negeri Melayu (Malay Digest) yang berlandaskan hukum Syarak. Fakta sejarah juga membuktikan bahawa semasa Sistem Residen berkuat kuasa di Negeri-negeri Melayu, Raja-raja Melayu tetap berdaulat –

The Resident System did not change the status of the Malay States to be part of British Colony. In 1878 The Colonial secretary has written a letter to the Resident of Pahang –

The Residents have been placed in the native states as advisers, not as rulers, if they upon themselves to disregard this principle, they will most assuredly be held responsible if trouble springs out of their neglect of it.[8]

Percubaan British untuk menjajah Tanah Melayu melalui gagasan Malayan Union pada tahun 1946 telah gagal apabila dibantah keras oleh orang Melayu ketika itu. Justeru, Negeri-Negeri Melayu terus bernaung di bawah perlindungan dan nasihat Residen British yang kemudiannya membentuk Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948. Perlu disebut bahawa pada waktu itu, Raja-Raja Melayu terus berdaulat, manakala Residen dan Residen Jeneral British hanya berperanan sebagai penasihat.

Terdapat beberapa ciri tempatan yang kesemuanya menekankan bahawa Perlembagaan Persekutuan bukanlah sesuatu yang asing. Kedudukan raja, hak keistemewaan orang Melayu, kedudukan Islam serta Bahasa Melayu adalah lanjutan sistem dan unsur-unsur tradisional yang telah wujud sebelum kedatangan British lagi. Perkara ini boleh dianggap istimewa kerana peruntukan berkenaan tidak boleh dipinda melalui suara majoriti dua pertiga dalam Dewan Rakyat dan Negara.[9]

Mengenai Islam pula, kedudukan Islam adalah penerusan daripada peruntukan yang ada dalam perlembagaan negeri Melayu sebelum tahun 1957. Walaupun perlembagaan bertulis boleh dikatakan sebagai satu fenomena yang baru, penetapan Islam sebagai agama negeri boleh dilihat sebagai usaha untuk mengakui dan menjelaskan nilai dasar negeri Melayu. Sebelum kedatangan British perkara ini mungkin tidak perlu kerana sebelum itu tidak wujud masyarakat bukan Islam yang besar jumlahnya. Mungkin boleh juga dihujah bahawa keadaan sebelum British juga tidak menghendaki perlunya Islam dinyatakan secara rasmi dalam undang-undang tubuh negeri Melayu.

Umat Islam berkewajipan untuk mempertahankan sejarah Kedaulatan Islam yang cuba dihakis oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Ini bagi mengelakkan berulangnya sejarah Kedaulatan Kesultanan Melayu/Islam yang sengaja dihakis dari lakaran sejarah Nusantara. Hari ini terdapat cubaan menghakis sejarah kedaulatan kesultanan Kedah di Pulau Pinang melalui My Balik Pulau dan Sejarah Islam di kawasan Batu Uban Pulau Pinang yang mendahului kedatangan Francis Light. Pengajaran perlu diambil dari Hukum Kanun Melayu (Malay Digests)  terus menerus dihakis daripada menjadi sumber undang-undang setelah diketepikan dengan kedatangan Common Law Inggeris.

Kini umat Islam sedang berhadapan dengan cubaan menghakis Kedaulatan Islam dengan mengutamakan salah tafsiran dan salah tanggapan mengatasi peruntukkan sebenar dalam Perlembagaan. Walaupun Perlembagaan Persekutuan  (Perkara 3(1)) memartabatkan Islam sebagai Agama Negara, Malaysia masih dianggap sebagai “Negara Sekular dengan Islam sebagai Agama Rasmi”.

Salah Tanggapan Ke 10 – Islam Tertakluk Kepada Pendekatan Politik

Kebelakangan ini, apabila tanggungjawab memelihara agama Islam dilaksanakan tanpa sebarang pemantauan, wujud kecenderungan sesetengah pihak untuk menggadai kepentingan agama Islam demi meraih sokongan politik. Nama suci Allah tergamak dibiarkan untuk digunakan secara sewenang-wenangnya oleh agama lain atas nama hak asasi manusia. Sedangkan hakikatnya ia sebahagian dari usaha untuk mengelirukan umat Islam dengan merendahkan nama suci Allah yang termaktub dalam al-Quran kepada hanya sebagai terjemahan kepada perkataan god dalam bahasa Inggeris. Justeru, nama suci Allah terdedah kepada penyalahgunaan oleh pelbagai pihak untuk digunakan kepada makhluk-makhluk yang mereka anggap sebagai tuhan mereka.

Adakah wajar demi kepentingan politik kita membiarkan orang-orang bukan Islam meng”allah”kan apa saja yang mereka anggap tuhan. Tentulah amalan sedemikian boleh mengakibatkan redha kepada syirik. Memang kita amat gembira jika penganut agama lain mahu menganggap Allah sebagai tuhan yang maha tinggi, tetapi perbuatan menyifatkan nama Allah hanya sekadar nama am yang bermaksud “tuhan” amatlah merbahaya dan satu penghinaan kepada ajaran Islam dan umat Islam yang beriman Allah adalah nama khas yang suci bagi Tuhan pencipta sekalian alam – lafzul jalaalah – bukan sekadar a mere word!  ALLAH is the one and only god, other gods are not ALLAH!

Begitu juga keadaannya apabila pertimbangan politik memainkan pengaruh yang penting dalam isu Bible Bahasa Melayu, amatlah tidak wajar isu agama dijadikan bahan political bargaining. Berbagai perkataan bersumberkan ajaran Islam diselewengkan maksudnya dalam bible Bahasa Melayu itu, namun oleh kerana suara umat Islam sudah tidak lagi begitu penting, maka pelbagai pihak cuba menangguk di air keruh dalam situasi politk semasa. Natijahnya ketinggian dan kesucian agama Islam sebagai agama Negara sudah dijadikan bahan political bargaining.

Implikasi Salah Tanggapan Terhadap Islam dibiarkan berterusan

Kesan serangan pemikiran ideologi Barat telah mengakibatkan sistem nilai dan pemikiran serta cara hidup masyarakat Malaysia terutama remaja tersasar daripada norma-norma yang sepatutnya menjadi asas bagi  penggemblengan peranan remaja secara agresif dalam masyarakat. Prof. Ulung Negara, Tan Sri Prof. Dr. Mohd. Kamal bin Hassan menukilkan bahawa:

Aliran-aliran yang ingin melemahkan pengaruh nilai-nilai budaya, agama dan moral tempatan itu dibawa masuk oleh unsur-unsur ekonomi kapitalistik tempatan atau antarabangsa yang mementingkan keuntungan kewangan semata-mata tanpa mempedulikan isu tanggungjawab sosial atau moral.  Pelbagai saluran akan digunakan untuk mencapai matlamat ekonomi dan budaya bebas mereka, termasuk industri-industri pengiklanan, perfileman, fesyen, muzik, hiburan, pelancongan, media cetak, media elektronik dan Internet.”.

Pemikiran ekonomi kapitalisme yang hanya menitikberatkan keuntungan material pihak pemodal semata-mata tanpa memberikan perhatian kepada kemaslahatan masyarakat. Sebagai pemilik modal, mereka bebas melakukan apa sahaja sehingga sanggup merobek sistem keadilan/perundangan dan juga agama bagi memenuhi kehendak dan memperoleh keuntungan. Golongan ini sentiasa memperjuangkan kebebasan dari semua aspek termasuklah kebebasan dalam beragama, kebebasan dalam tingkah laku, kebebasan dalam menyuarakan pendapat, dan kebebasan dalam pemilikan harta berpandukan sistem kapitalis.

Kelompok kapitalis ini juga tergamak melakukan manipulasi dan eksploitasi secara berleluasa melalui kegiatan perniagaan berasaskan seks, penipuan, pemerdagangan orang atau memperguna wanita-wanita yang terdesak dalam kehidupan materialistik bagi mendapatkan keuntungan. Akibatnya, industri yang berasaskan seks bebas dan zina dipromosikan secara berleluasa termasuk mendirikan pusat-pusat hiburan dan maksiat yang menjadikan remaja wanita sebagai alat tarikan pelanggan seperti GRO, pelayan, teman sosial malah sebagai pelacur.

Secara umumnya kelompok kapitalis meraih keuntungan besar dengan tersebarnya  pengaruh fahaman liberalisme yang berkembang di negara ini yang telah meresap ke dalam semua bidang kehidupan seperti liberalisme ekonomi, budaya, politik, dan agama. Gerakan liberalisme ini memperjuangkan demokrasi, fahaman persamaan semua agama, fahaman persamaan hak antara lelaki dan perempuan serta mempromosikan kebebasan. Sebagai contoh, golongan ini memperjuangkan hak kebebasan seks seperti lesbian dan homoseksual, hak untuk berpakaian secara menjolok mata dan bersosial secara terlampau, hak pengguguran anak selain penentangan terhadap hukum dan undang-undang kekeluargaan Islam yang diperuntukkan di bawah undang-undang Syariah seperti poligami, pembahagian harta pusaka, kuasa talak dan sebagainya. Bagi merealisasikan keinginan mereka, golongan ini mentafsirkan hukum agama mengikut rasional akal dan realiti semasa. Mereka yang berpegang teguh pada agama dikatakan golongan fundamentalis yang kolot dan jumud kerana tidak mengikut peredaran masa.

Fahaman Liberalisme ini menegaskan kepentingan bahawa manusia mempunyai kebebasan diri untuk menjalani kehidupan tanpa sebarang ikatan dengan sebarang bentuk tradisi, termasuk Tuhan dan agama. Hal ini menjadikan manusia hidup tanpa garis panduan terhadap apa yang dilakukannya dan seterusnya mewujudkan pemikiran kontemporari yang meraikan kepelbagaian budaya, amalan dan prinsip. Interaksi global juga telah menyebabkan manusia menjadi objek konsumer yang diperdagangkan menerusi hedonisme anjuran Barat. Secara dasarnya, globalisasi yang merupakan produk Liberalisme ini telah mencabul kedaulatan sesebuah negara dan bangsa sama ada dari segi agama, budaya, bahasa dan juga undang-undang.

Dalam era Liberalisme ini, struktur kehidupan sosial masyarakat telah banyak berubah. Budaya moden telah mempengaruhi tingkah laku dan cara berfikir termasuklah penghayatan terhadap ajaran agama. Gaya hidup moden juga menjadikan sebilangan masyarakat bersikap individualistik, mengabaikan sikap kekeluargaan, kejiranan dan bermasyarakat serta tidak mengambil peduli terhadap gejala sosial yang berlaku di kawasan kejiranan dan tempat-tempat awam seperti jiran yang tinggal bersekedudukan, berkelakuan tidak sopan di tempat awam, berpakaian menjolok mata dan sebagainya.

Tindakan oleh beberapa pertubuhan Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) dengan sokongan kelompok politik yang mendesak Kerajaan supaya tidak menggunakan undang-undang bagi mengawal masalah keruntuhan akhlak di Negara ini telah membuka ruang yang lebih luas kepada berleluasanya aktiviti gejala sosial dan eksploitasi wanita dalam masyarakat yang tidak mencampuri urusan peribadi orang lain.

Peranan institusi agama sentiasa disekat dan dikritik hebat serta diletakkan di bawah pengaruh politik, sedangkan institusi agama bertanggungjawab terus kepada Sultan sebagai Ketua Agama. Keadaan ini mewujudkan sindrom takut dan bimbang di kalangan pihak berkuasa agama untuk menyusun langkah bagi memastikan prinsip dan nilai agama terus terpelihara.

Pemikiran dan pendekatan sebegini adalah berpunca dari salah tanggapan yang meluas terhadap kedudukan Islam di Negara ini. Apa yang dikesalkan ialah golongan yang berpemikiran Liberal ini cukup berpengaruh dan sedang giat melebarkan pengaruh mereka di kalangan generasi muda yang berminat kepada agama. Dominasi golongan yang berpemikiran Liberal ini mempunyai agenda besar (grand design) untuk menghakis pengaruh agama dalam aspek kenegaraan dan hidup bermasyarakat.

Kedudukan Islam sebagai agama Negara bukan sahaja dikesampingkan dengan merendahkan martabatnya kepada sekadar agama rasmi, malah gerakan untuk terus menghapuskan unsur-unsur pegangan kepada agama Islam juga sedang berlangsung dengan hebat. Kelompok Liberal ini bukan sahaja setakat cuba memperluaskan pengaruh mereka dalam politik malah mereka sering mencabar kedudukan agama Islam hingga ke peringkat Mahkamah tertinggi Negara menerusi kes-kes yang mereka wakili.

Ternyata pemikiran Liberal ini bukan sahaja didokong oleh kelompok-kelompok kecil yang berpakaian sebagai NGO malah ia sudah berdiri teguh sebagai aliran politik sama ada dalam parti pemerintah atau pembangkang.

Fakta yang dikeluarkan oleh pelbagai agensi Kerajaan membuktikan bahawa betapa meruncingnya gejala sosial yang melanda masyarakat khususnya yang melibatkan golongan wanita yang dipercayai akibat dari menular budaya hidup bebas berpaksikan pemikiran Liberal ini antara lain, seperti yang berikut:

(a)        perangkaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) 2011, mencatatkan jumlah kelahiran anak tidak sah taraf yang didaftarkan antara tahun 2006-2010 adalah sebanyak 234,647. Daripada jumlah tersebut, seramai 80,979 atau 34.5% adalah bayi yang ibu kandungnya beragama Islam. Jumlah anak luar nikah pasangan Islam menunjukkan pola meningkat dalam tempoh lima tahun sejak tahun 2006 (Berita Harian, 21 Mac 2011);

(b)        sebanyak 280 kes buang bayi dilaporkan bagi tahun 2005 hingga April 2010 di seluruh negara (PDRM 2010). Setiap kali berakhirnya sambutan yang membabitkan kemeriahan pada sebelah malamnya di negara ini, tiga bulan selepas itu akan menyaksikan peningkatan kes buang bayi dan mengandung anak luar nikah. Tempoh ini ibarat “musim mengawan” kerana tiga bulan selepas itu rumah perlindungan dan seluruh negara akan mencatat kes buang bayi sama ada masih hidup atau janin yang dibuang dalam semak, belakang rumah, pusat pembuangan sampah, bawah pokok, dalam longkang dan juga tandas;

(c)         data yang dikeluarkan oleh Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) pada tahun 2005 menunjukkan kes pelacuran kanak-kanak dengan purata 150 – 160 gadis tempatan yang di tahan setiap tahun. Dianggarkan 150 ribu wanita terbabit dalam kegiatan pelacuran dengan sejumlah besarnya adalah wanita dewasa;

(d)        PDRM 2010 juga telah mencatatkan jumlah kes rogol bagi tahun 2008 hingga April 2010 adalah sebanyak 8227 kes.  Kes mencabul kehormatan juga menunjukkan statistik yang tinggi iaitu sebanyak 4894 kes dilaporkan bagi tahun 2008 hingga April 2010 di seluruh negara; dan

Peningkatan keterlibatan remaja Melayu Islam dalam gejala sosial amat membimbangkan. Ia berpunca dari budaya hedonisme yang dilancarkan secara besar-besaran oleh kelompok kapitalis atas nama pembangunan dan kemajuan material.  seperti lakonan, nyanyian dan tarian yang berunsur seks dan kerendahan akhlak, peragaan, ratu cantik, pengiklanan komersial, gadis grand prix, yang jelas mencemar nama baik agama Islam.

Lakukan Hijrah Minda

Pemangku Raja Perak, DYTM Raja Nazrin Shah ketika menyampaikan Titah Diraja sempena Kongres Majlis Agama Islam seluruh Malaysia pada 26 September 2011 di Dewan Merdeka PWTC yang baru lalu telah menyarankan supaya Majlis Agama Islam Negeri menghayati tafsiran Islam yang syumul yang digariskan oleh Hassan Al Banna –

“…Usul Ishrin menggariskan Islam ialah sistem yang syumul merangkumi seluruh aspek hidup, Islam adalah negara dan watan, pemerintah dan umat, akhlak dan kekuatan, rahmat dan keadilan, kebudayaan dan undang-undang, ilmu dan kehakiman; Islam merangkumi material dan harta benda, usaha dan kekayaan, jihad dan dakwah, tentera dan fikrah, akidah yang benar dan ibadat yang sah.

Baginda selanjutanya bertitah menjunjung kesyumulan Islam dan menyeru Majlis-majlis Agama Islam Negeri melakukan transformasi agenda dan transformasi pendekatan yang semestinya merangkumi transformasi pendekatan pendidikan.

“Insan yang menerima Islam sebagai pegangan agamanya, memiliki ikatan dan komitmen yang mendalam kepada Tuhan Maha Pencipta. Islam adalah Addin, satu cara hidup yang lengkap dan berkesinambungan, mengaitkan kehidupan di alam dunia dan di alam akhirat, perlu dibincangkan secara berintegrasi tanpa memisahkan komponen duniawi dengan komponen ukhrawi. ‘MAJLIS’ wajib menghayati tafsiran sedemikian dalam hasrat melakukan transformasi peranan, transformasi agenda dan transformasi pendekatan.”

Prof Ulung Negara mengemukakan cadangan pembaharuan[10]

Penyatuan Kecemerlangan Intelektual, Kecemerlangan Akhlak dan Ketakwaan Kepada Allah S.W.T.

Sudah sampai masanya paradigma pembangunan atau modenisasi sekular yang telah menimbulkan sekian banyak krisis dan malapetaka moral diganti dengan paradigma pembangunan integral yang memberi tempat sewajarnya kepada dimensi kerohanian dan budi pekerti sebagai teras kemajuan hakiki insan. Tetapi paradigma pembangunan integral yang dikehendaki oleh pandangan alam Tauhidi tidak mengecilkan atau mengasingkan dimensi ilmu pengetahuan tentang alam dan tentang kehidupan di dunia. Pendekatan integral ini harus menuju ke arah melahirkan generasi muda Islam model Ulu’l-Albaab yang mempunyai kecemerlangan ilmu bersama dengan kecemerlangan akhlak, budi dan ketakwaan. Dengan berpandukan prinsip  al-wasatiyyah yang sejati, kecenderungan untuk melampaui batas intelektualisme yang wajar atau sebaliknya, atau ke arah spiritualisme yang melampaui batas dapat dihindari. Masyarakat dan budaya orang Melayu Islam di Asia Tenggara tradisional pada umumnya lebih cenderung ke arah pola kehidupan yang sarat budi mulia, tetapi kurang memberi perhatian kepada penguasaan ilmu semasa, apa lagi kecemerlangan dalam bidang itu. Sedangkan golongan menengah baru dan elit-elit kota umumnya lebih cenderung menekankan penguasaan ilmu-ilmu dunia dan ketrampilan-ketrampilan professional dan teknikal, lalu mengabaikan kecemerlangan budi dan kedalaman takwa kepada Allah S.W.T., dengan segala akibatnya yang tak perlu dihuraikan di sini.

Perlu diingat bahawa slogan “mengejar kecemerlangan” (the quest for excellence) dalam konteks sistem ekonomi sekular dan sistem pendidikan sekular telah menimbulkan gejala “pemujaan kehendak pasaran” dan “the religion of the market”. Pasaran bebas dalam sistem ekonomi kapitalisme tidak mementingkan kecemerlangan akhlak, budi mulia atau ketakwaan kepada Allah S.W.T. Set minda perniagaan (business mindset) pun menular masuk dalam institusi-institusi pendidikan dan pengajian tinggi. Pengaruh ini memperkukuhkan budaya kecemerlangan ilmiah dan teknikal yang bersifat utilitarian dan bebas nilai akhlak atau budi mulia. Gejala ini telah melahirkan satu jenis “penyakit” baru yang, oleh sebahagian pemerhati di Barat, dinamakan sebagai “the cancer of commercialisation” (barah komersialisasi) yang menghinggapi beberapa universiti di dunia, termasuk universiti-universiti yang terkenal seperti Universiti Harvard dan Chicago. Penyakit yang muncul atas nama “kecemerlangan sekular” ini diberi nama oleh Prof. Harry Lewis (mantan dekan di Harvard Universiti yang telah bertugas selama 32 tahun di universiti itu) sebagai “EXCELLENCE WITHOUT A SOUL”. Konsep kecemerlanagn Islami (al-itqaan, al-ihsaan, al-tafawwuq) tidak berat sebelah, tidak lupa kepada keluhuran budi dan kemurnian takwa; malah model kecemerlangan para ulamak besar zaman silam dan model Ulu’l-Albaab menjanjikan suatu kecemerlangan bersepadu yang berteraskan pencapaian hasanah fi’d-dunyaa dan hasanah fi’l-aakhirah.”

 Kesimpulan                                                                                                           

Hijrah Minda sebagai agenda transformasi Islam adalah tuntutan yang sewajarnya dilaksanakan oleh setiap individu muslim tanpa mengira latar belakang politik. Adalah dijangkakan sekiranya semua salah tanggapan ini tidak diislahkan secara menyeluruh dan berkesan, agama Islam akan menjadi amalan ritual yang berpusat di masjid-masjid dan tanah perkuburan sahaja. Pada hari ini fahaman sebegini sudah menular dengan luas di kalangan umat Islam sendiri. Malah tanggapan negatif terhadap institusi agama semakin meluas di kalangan generasi muda negara. Jika  ditafsirkan dengan betul, Perlembagaan Persekutuan bukan hanya memberikan laluan untuk negara ini ditadir menurut prinsip Islam, malah ia adalah suatu kewajipan! Sebaliknya jika ditafsir secara liberal, liberal lah jadinya Negara ini, terhakislah Islam yang selama ini menjadi identiti umat dan masyarakat Melayu Nusantara.

[1]  Peguam Kanan Persekutuan, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Dewan Amal Islami (DAMAI); Pembentangan Kertas Kerja semasa Majlis Perdana Ulama’ – Umarak + Imam Bersama YAB Perdana Menteri Malaysia pada 20 Muharram 1433/16 Disember 2011 di Dewan Merdeka PWTC.

[2] Federal Constitution

[3]  Mohd.Kamal bin Hassan,  2010 Pengkaedahan Pendidikan Melayu Islam

[4]  Ahmad Mohamed Ibrahim, 2000, “Prinsip-Prinsip Perlembagaan Islam dan Perlembagaan Malaysia” dlm. Pemerintahan Islam dalam Masyarakat Majmuk, Kuala Lumpur : Institut Kefahaman Islam Malaysia, hlm. 132.

[5] Menurut Suruhanjaya Reid (Report of the Federation of Malaya Constitutional Comission, London, Her Majesty’s Statitonery Office, 1957 No. 330 or the Reid Commission Report) mengenai agama Islam:

’…The observation of this principle shall not impose any liability on non-Muslim natives professing and practising their religions and shall not imply that the State is not a secular State…’

Begitu juga dengan kenyataan daripada Hakim Abdul Hamid, salah seorang ahli Suruhanjaya Reid mengenai ‘Islam as a State Religion’, di mana kata beliau, pada perenggan 11:

‘It has been recommended by the Alliance that the Commission should contain a provision declaring Islam to be the religion of the State. It was also recommended that it should be made clear in that provision that a declaration to the above effect… will not prevent the State from being a secular State…’

[6] saranan Kertas Putih (White Paper) iaitu:

‘There has been included in the Federal Constitution a declaration that Islam is the religion of the Federation. This will not in no way affect the present position of the Federation as a secular state…’

[7]  Freedom Of Religion Under Federal Constitution Of Malaysia – A Reappraisal, Mohammed Imam; [1994] 2 CLJ lvii (June)

[8] Colonial Secretary to Residents, May 17, 1878; E.Sadka, The Malay States 1874-1895, p.102.

[9]  Perlembagaan Sebagai Sebuah Pernyataan Sejarah Dan Tradisi Negara, Dr. Abdul Aziz Bari Kulliyah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

[10] Mohd.Kamal Hassan, 1988. Pendidikan dan Pembangunan: Satu Perspektif Bersepadu; Kuala Lumpur: Nurin Enterprise.

Mohamad Kamil bin Majid et al – Pemikiran Wasatiyyah Menghadapi Pemikiran Liberal

Tiada ulasan: