Baru-baru ini saya
menghadiri Sesi Penerangan Mengenai Perlembagaan pada 15 Sept 2012 di Dewan
UMNO Pagoh. Sangat menarik penerangan oleh Tn Hj Mahamad Naser bin Disa. Berikut
edaran yang diberikan kepada saya dan saya petik melalui blog http://akarimomar.wordpress.com/2012/04/07/hijrah-minda/
Berikut adalah edaran
tersebut :
Islam Agama Negara: Undang-undang
Tertinggi Negara
Tn Hj Mahamad Naser bin Disa |
Atas sifat dan kedudukan Baginda Yang
Di-Pertuan Agong sebagai Ketua Utama Negara (The Supreme Head of Federation),
semua pihak yang ada hubung kait dengan pemerintahan Negara ini juga terikat
untuk melaksanakan sumpah berkenaan kerana segala urusan pemerintahan dalam
Negara ini bersumberkan kepada kuasa eksekutif Baginda sebagaimana yang
termaktub dalam Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan. Justeru, berpaksikan
kepada kedudukan Islam sebagai Agama Negara dan komitmen Ketua Utama Negara,
segala agenda Negara sama ada dalam bentuk dasar mahupun perundangan semestinya
berpaksikan kepada prinsip Islam dan tidak boleh sama sekali menyanggahi atau
menjejaskan ketinggian dan kedaulatan Agama Negara.
Seluruh dasar dan agenda pembangunan
Negara semestinya berteraskan kepada prinsip Agama Negara dan bukan pemikiran
atau pengaruh pemikiran sekularisme dan liberalisme kerana sifat kedua-dua
pemikiran itu masing-masing menyisih dan menghakis agama dari kehidupan bermasyarakat
dan bernegara. Rakyat Negara ini seharusnya menyedari dan bersyukur sebagai
kerangka asas Negara, Islam telah berjaya membuktikan kepada dunia bahawa sifat
kemanusiaan yang dipupuk dalam minda umat Melayu/Islam, Negara Malaysia telah
berjaya membawa semua kaum sama ada yang beragama Islam atau bukan beragama
Islam ke mercu kejayaan dan keamanan yang berpanjangan – bebas dari cengkaman
penjajah dan bebas dari ancaman komunis dan segala bentuk ancaman. Justeru,
ketika rakyat Negara ini menikmati rahmat pembangunan dan keamanan ini, tiada
pilihan lain selain dari terus memartabatkan kedaulatan dan ketinggian agama
Islam sebagai Agama Negara.